UNIT PSH  update 14 FEB 2024

PENGENALAN PSH

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) telah menjadi satu agenda global untuk menghadapi pelbagai cabaran pembangunan mampan. Pembudayaan PSH dimantapkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan diletakkan sebagai lonjakan ke 3 iaitu ”Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat”. PSH merupakan saluran pembelajaran sepanjang hidup utama bagi seseorang individu, sehaluan dengan sistem pendidikan negara dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, prauniversiti dan seterusnya pengajian tinggi.

 

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat untuk membudayakan amalan PSH ke dalam masyarakat Malaysia untuk mewujudkan pembelajaran dan pembelajaran semula sebagai unsur penting dalam budaya dan cara hidup. Hasrat ini akan dicapai dan dimangkinkan melalui sistem PSH yang berkualiti tinggi, diselaras dengan baik dan seragam di setiap organisasi.

 

Berdasarkan memorandum Menteri Pengajian Tinggi bertarikh 20 April 2005, kabinet bersetuju menjadikan kolej komuniti sebagai hab PSH. Pelaksanaan program PSH di kolej komuniti adalah bagi tujuan peningkatan kemahiran dan pengetahuan serta taraf sosio-ekonomi masyarakat. PSH mampu   menggembleng potensi individu yang    masih belum berada dalam pasaran kerja untuk meningkatkan kemahiran menerusi pelbagai bidang bersesuaian dengan model ekonomi berpendapatan tinggi. PSH juga boleh memupuk minat dan menyemai bakat untuk kehidupan yang lebih bermakna. Menerusi PSH, pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda, tetapi perlu dilanjutkan sepanjang hayat.

 

Program PSH di kolej komuniti dilaksanakan dalam dua bentuk latihan iaitu kursus pendek dan Akaun Amanah Latihan Khas untuk semua peringkat umur. Namun, Pelan Induk Pembudayaan PSH di Malaysia (2011 – 2020) yang dilancarkan pada 14 November 2011 memfokuskan program PSH kepada kumpulan peserta berumur 15 hingga 64 tahun.

 

MATLAMAT PSH

Pelaksanaan kursus PSH adalah untuk membentuk komuniti yang lebih dinamik, menyediakan peluang kepada agensi kerajaan, agensi swasta, dan industri bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta taraf sosio ekonomi melalui program sepanjang hayat yang fleksibel dan mudah alih (mobile).

 

PSH akan menjadi cara hidup seluruh warga Malaysia. Program PSH akan ditingkatkan supaya ia lebih berkualiti dan kekal relevan, samada secara formal, bukan formal mahupun tidak formal sebagai laluan untuk pembangunan profesional dan individu. Peserta PSH merangkumi warga setiap organisasi dan satu mekanisme akan dibentuk bagi mengiktiraf pengalaman dan pembelajaran terdahulu. Setiap individu akan mendapat akses tanpa mengira tahap pendapatan ataupun latar belakang.

OBJEKTIF

Objektif pelaksanaan program PSH di kolej komuniti adalah:

  1. a) Menganjur dan menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat dalam pembangunan komuniti berpengetahuan (k-communities);
  2. b) Menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran (up-skilling) dan melatih semula (re-skilling) untuk keperluan tenaga kerja setempat;
  3. c) Menyediakan rangkaian strategik (strategic networking) untuk pengukuhan aktiviti sosio-ekonomi di kalangan pelanggan setempat dan pemegang taruh (stakeholder);
  4. d) Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pilihan yang berpusatkan komuniti.

CAPAIAN SISTEM EPSH